Sep 23, 2009

10 'K' Dalam Persahabatan

0


KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting dalam sesebuah persahabatan. Ikatan persahabatan akan mudah rapuh jika tiada kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada pemilik cinta itu sendiri iaitu Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlu meluahkan rasa cinta terhadap sahabat dengan mengungkap, 'uhibbuka atau i fillah' (bagi sahabat yang sama jantina) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah.

KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat, kita perlu curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita. Insya-Allah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap sahabat, kita akan diingati sehingga akhir hayat mereka. Ini kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan.

KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi, jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya. Kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, kita juga kena berani menasihati sahabat kita. Ini kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka bukan?

KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.

KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita. Ini kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Begitu juga sebaliknya.

KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Mungkin ketika itu, tiada siapa yang akan mereka cari, selain kita sahabat mereka.

KEGEMBIRAAN. Jika kita gembira, maka berkongsilah kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran senyuman indah pada raut wajah mereka? Kegembiraan kita, bermakna kegembiraan mereka juga.

KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, 'Kau cantik, aku mesti cantik,' atau 'Kau kaya, aku pun kena kaya'. Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza. Namun, dalam persahabatan, keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman dia antara dua pihak.

0 cemuhan:

Post a Comment

Segala komen dari anda amatlah dihargai :)